Wednesday, August 12, 2009

Apa pengertian Hari Kebangsaan untuk saya?


Aku bangun dari tidur dengan perasaan kegembiraan dan keghairahan. Setiap hari, aku bangun dari tidur selesa dan selamat. Aku tahu Singapura ialah negeri yang aman damai, tanpa sebarang perselisihan yang membahayakan. Itulah sebabnya kita semua tidur pada waktu malam tanpa sebarang perasaan bimbang atau takut.

Tetapi, hari itu berlainan kerana hari itu ialah hari istimewa Singapura. Negeri yang kecil tetapi bermakna ini ialah merdeka selama 44 tahun. Untuk menunjukkan bahawa aku menghargai Singapura, aku telah mebuat ikrar di dalam kelas terlebih dahulu. Aku menghargai segala pengorban nenek moyangku dalam memerdekakan Singapura untuk menjadi negeri yang sentosa. Di sekolah juga, cikgu-cikgu dan kawan-kawanku selalu memperingatkan kedatangannya Hari Kebangsaan Singapura. Aku amat ghairah untuk berjumpa dengan hari itu.

"Cepat, sudah mula!" panggil abangku dari ruang tamu.

Aku dengan segera bergegas ke depan televisyen untuk menonton persembahan Hari Kebangsaan yang diadakan di Marina Bay di atas pentas terapung yang besar. Walaupun tidak mendapat peluang untuk meraikan hari itu di sana bersama orang-orang yang lain, aku masih rasa bersemangat untuk menyambut bersama di rumah. Persembahan-persembahan yang disediakan dari warga kita sendiri amat menakjubkan. Setiap persembahan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ia dapat meberikan perasaan yang mendalam dan amat bererti bagi setiap penonton.

Jam menunjukkan pukul 8:21 malam. Aku berasa ghairah untuk berikrar bersama seluruh Singapura dalam masa seminit lagi. Akhirnya, pengacara meminta semua orang untuk berdiri dan berikrar bersama-sama. Pada masa itu, aku dapat merasai semangat Singapura berkobar-kobar. Aku amat bangga sebagai seorang rakyat Singapura.

Malam itu diakhirkan dengan pertunjukan bunga api yang gemilang. Bunga api yang berwarna-warni dapat mengukirkan senyuman pada rakyat-rakyat Singapura. Hari Kebangsaan amat bererti pada diriku kerana inilah tempat aku dibesarkan untuk menjadi seorang insan yang saling tolong-menolong. Singapura, dengan adanya kaum yang berlainan, tetap bersatu kerana kita semua membesar bersama-sama. Hari kemerdekaan Singapura telah menunjukkan bahawa rakyat kita saling berseru dan bersatu untuk memberi penghargaan kepada setiap orang yang berjasa untuk membuat Singapura berjaya.

Aku akan sentiasa mengingati tarikh 9 Ogos selamanya. Sehingga aku menghembus nafasku yang terakhir di tempat yang aku dilahirkan.