Wednesday, August 12, 2009

Karangan Naratif.

SOALAN 4 (Jun 2008):
Tulis sebuah peristiwa yang menyegarkan diari memori kamu sehingga terkenangkan kedua-dua orang tua kamu yang telah lama berpisah dengan kamu.


Dengan senyuman yang manis, budak kecil itu mendakap tubuh ibunya dengan erat. Wajahnya yang putih berseri penuh dengan perasaan kasih sayang dan manja. Perbuatannya memang kecil tapi mendalam. Teringat pula aku dengan ibuku yang telah aku tinggalkan empat tahun yang lalu. Aku merindui ukiran senyumannya yang selalu tersemat di hatiku. Aku merindui tawa mesranya yang selalu meriangkan hari yang mendung. Tetapi malangnya, kelakuanku, yang bak kata pepatah kacang lupakan kulit, telah merosakkan perhubunganku bersama ibu tersayang.

“Ibu, Fatin telah membuat keputusan untuk menjadi seorang penggembara dan berkerja bersama syarikat National Geographic. Fatin harap ibu akan merestui keputusan saya,” aku berkata dengan nada yang tegas dan lantang.

Aku tahu aku telah memecahkan segala harapan ibuku, tetapi itulah impianku dan aku bersemangat untuk membuat impianku menjadi kenyataan. Aku ternampak ibuku terkejut untuk seketika. Di dalam fikirannya, dia sudah bayangkan diriku sebagai seorang doctor yang berjaya. Daripada kecil lagi, ibu telah memupukkan minatku kepada Sains. Apabila aku sudah dewasa, ibu menghantarku ke kursus menjadi doktor di universiti. Tetapi aku tahu di dalam hatiku, minatku ialah untuk menggembara ke negara-negara lain dan mempelajari dan mengalami budaya mereka yang menarik. Dengan hatinya yang kecil, ibuku cuba untuk menyembunyikan kekecewaannya dan hanya tersenyum kepadaku.

“Apa saja yang Fatin lakukan, ibu akan menyokong. Ibu hanya ingin Fatin mengingati ibu selalu apabila sudah berjaya nanti,” jawabnya dengan suara yang lembut.

Setelah menjalani temu duga dan kursus dengan betul, syarikat National Geographic menyakinkanku dengan pekerjaan yang tetap. Aku mula menjelajahi tempat-tempat yang menarik. Aku bersyukur Tuhan dapat memberiku peluang untuk mengalami keindahan alam semesta dengan mataku sendiri. Tidakku sangka cita-citaku akan menjadi relaiti. Namun, sedang aku berseronok, hubunganku bersama ibuku semakin renggang. Aku sering lupa untuk menelefon ibu untuk bertanya khabarnya kerana waktu kerja yang ketat dan kerana aku berasa amat letih. Hari menjadi minggu dan minggu menjadi bulan. Akhirnya, aku langsung tidak menelefon ibuku. Ibu pula selalu mendoakan keselamatan anak sulungnya. Oleh kerana selalu bersama orang-orang asing dari luar negeri, aku terlupa bahawa aku ada keluarga di Singapura. Aku menjadi sombong dan bongkak.

Sehinggalah satu hari, aku menerima panggilan telefon daripada adikku. Panggilan telefon yang membuatku insaf.

“Kak, ini Aisyah. Kak, tolonglah pulang Singapura. Ibu sedang sakit. Dia merindui Kakak. Hari-hari dia Tanya jika kakak menelefon ke tidak. Doktor kata, jantung ibu lemah. Tolonglah kak, pulang,” kata Aisyah, dengan suaranya yang pilu.

Aku melihat ke luar tingkap kapal terbang Air New Zealand. Aku tentu akan merindui pekerjaanku. Tetapi, bagi diriku empat tahun sudah cukup sebagai pengalaman. Sekarang, ibuku lebih penting. Mataku terpandang ke arah budak kecil itu. Lima jam lagi aku akan mengalami perasaan yang sama bersamanya. Lima jam lagi, aku akan pulang ke pelukannya yang melegakan. Kali ini, aku tidak akan melepaskannya.